Friday, 25 March 2016

Laman yang hijau baik untuk kesihatan anda, baik fizikal mahupon mental. Menurut kajian, laman dengan rumput subur dan sihat menyejukkan persekitaran berbanding pavement atau lantai simen. Warna hijau yang harmoni dan seimbang pula boleh mendamaikan minda yang sedang dalam masalah atau keserabutan.

Ada pelbagai jenis rumput untuk taman anda, tetapi tidak semua jenis rumput sesuai dengan keadaan laman anda, dari segi keadaan tanah, jenis tanah dan pemancaran cahaya matahari. Lagi satu faktor pemilihan rumput yang sesuai dengan laman anda ialah kerajinan anda sendiri .

Mari kita lihat jenis-jenis rumput cantik yang terdapat di atas bumi ini.


Japanese Grass atau Zoysia Matrella

Gambar ehsan Mama Suraya 
Di Malaysia ia dikenali sebagai rumput karpet, ia berwarna hijau muda dengan daun yang kurus dan halus berbanding rumput karpet jenis Phillippine, maka ia lebih mahal.

Rumput ini perlu dijaga dengan rapi, dan mengambil masa untuk tumbuh kerana ia tumbuh rapat.

Tumbuh menegak maka memerlukan pemotongan yang agak kerap untuk memastikan ia kelihatan cantik dan kemas dan perlu lebih baja.

Pastikan anda mencabut rumput liar sehingga ke akarnya untuk mengelakkan ia tumbuh membiak dan mencacatkan rumput karpet anda.

Rumput ini memerlukan cahaya matahari sehingga 6 hingga 8 jam, maka pastikan laman anda sesuai dengan keperluan rumput ini.


Philippine Grass

Gambar ehsan Seri Laman
Lagi satu jenis rumput karpet yang daunnya berwarna hijau muda dan berdaun halus, tetapi lebih mudah dijaga dari jenis Japanese. Lebih tahan lasak dan lebih tahan serangga perosak.

Ia sesuai dengan tempat yang lapang dan juga perlu cahaya matahari sehingga 6 jam atau rumput akan cepat panjang dengan tidak sekata dan nampak tidak kemas.

Perlu dibaja dan dipotong setiap bulan, dan mengambil masa untuk tumbuh rata dan cantik.

Rajinkan juga untuk mencabut rumput liar yang tumbuh liar di celah-celahnya supaya rumput karpet kita sentiasa kelihatan cantik dan menarik.


Rumput Padang (Cow Grass)


Sesuai dengan namanya, rumput ini memang sering digunakan di padang-padang seperti padang sekolah, padang permainan dan bahu jalan. 

Mudah penjagaannya kerana ia tahan lasak dari segi serangan perosak, penyakit, cuaca dan rumput liar.

Ia perlu di potong selalu kerana mudah panjang, sekurang-kurangnya 2 minggu sekali jika anda tidak mahu laman rumah anda kelihatan seperti padang ragut untuk lembu.



Rumput Mutiara (Pearl Grass)

Gambar ehsan Enrich Construction
Rumput ini selalu menjadi pilihan pelanggan kami kerana ia berdaun lebar dan cantik. Tidak seperti rumput padang, ia tumbuh berkuntum membulat. 

Ia senang untuk tumbuh cantik dan tidak perlu dipotong dengan kerap jika mendapat cahaya matahari yang mencukupi kerana ia akan sentiasa pendek.

Penjagaan rapi yang diperlukan ialah siraman air yang mencukupi dan pembajaan 2 bulan sekali. Ia juga tidak tahan cuaca panas.

Warna daunnya hijau pekat dan ia melepaskan oksigen lebih berbanding rumput lain.

Rumput liar senang tumbuh di celahnya maka rajin-rajinlah mencabut rumput liar.


Rumput Batik Varigata

Gambar ehsan Anak Benih YKK
Rumput ini cantik kerana daunnya mempunyai jalur berwarna putih maka ia agak mahal.

Ia dari spesis yang sama dengan rumput mutiara, di mana perbezaannya hanyalah kerana jalur putih di atas daunnya. Ciri-ciri dan penjagaannya adalah serupa dengan rumput mutiara.

Ia lebih sesuai ditanam sebagai tanaman sempadan (border) di sekeliling tanaman bunga atau tumbuhan renek bagi menambahkan lagi efek dekorasi landskap anda.


Rumput Bermuda

Gambar ehsan Bibit Bunga.
Juga sejenis rumput karpet, lebih dikenali sebagai rumput golf, adalah antara rumput yang sesuai dengan cuaca panas.

Berwarna hijau muda daun yang pendek iaitu dalam 2-15 cm dan berdaun kurus. Ia juga tumbuh menegak.

Seperti rumput karpet lain, ia juga memerlukan cahaya matahari sekitar 8 - 10 jam sehari untuk kekal subur dan cantik selain tidak memerlukan air terlalu banyak (bergantung dengan cuaca).

Biasanya pegguna menanamnya dari benih kerana mudah didapati dan rumput ini juga adalah makanan kura-kura.

Walaupun namanya Bermuda, ia bukan berasal dari Bermuda tapi dari Timur Tengah.


Kentucky Bluegrass

Gambar ehsan Garden Turf.
Rumput lazim di Amerika Syarikat, ia sering ditanam di laman rumah penduduk di sana.

Rumput ini memerlukan cuaca sejuk dan lembap, sesuai dengan keadaan iklim bahagian utara Amerika Syarikat negara Eropah.

Hujung rumput berbentuk sampan, nipis dan kurus dan boleh tumbuh sehingga 20 cm panjang.

Berbunga dari bulan May hingga Julai dan daunnya berwarna hijau gelap. Akarnya membiak dengan menjalar dari bawah tanah dan ia tumbuh menegak.

Perennial Ryegrass

Gambar Ehsan Britannica
Satu lagi jenis rumput untuk cuaca sejuk tetapi sesuai dengan tanah berdekatan laut (iaitu tidak perlu sejuk sentiasa).

Daunnya halus dan bergulung dari tunasnya, dan bahagian belakang daun berkilat. Ia tumbuh secara merumpun. Memerlukan banyak cahaya matahari tetapi masih boleh tahan mendung. Paling banyak digunakan kerana lebih tahan lasak di tempat banyak orang berjalan dan cepat tumbuh.

Fine Fescue

Slender creeping fescue. Gambar ehsan Pinterest
Juga sejenis rumput untuk musim sejuk, mempunyai 5 spesis berbeza; creeping red fescue, chewing fescue, hard fescue, blue sheep fescue dan slender creeping fescue. Yang membezakan 5 spesis ini ialah dari segi rupa dan kegunaan.

Secara umumnya, jenis rumput ini tahan sejuk, cepat bercambah, tekstur daun halus dan berdaun lebat.

Ia boleh hidup atas tanah kurang subur seperti tanah kurang nitrogen, atau tanah yang berbatu atau berpasir kasar. Sesuai hidup di tanah tinggi tetapi tidak tahan lasak untuk kawasan yang sering digunakan oleh pejalan kaki.Agak sukar dipotong dengan mesin rumput dan cenderung untuk tumbuh tidak sekata.

Blue Sheep Fescure, gambar dari Seedman.com

Buffalo Grass



Rumput jenis ini tahan cuaca panas dan kering, sangat sesuai dengan negara seperti Australia.

Ia tahan kemarau dan tahan lasak dari segi kelembutan daunnya walaupun dalam cuaca buruk. Ia boleh hidup walaupun dalam kekurangan cahaya matahari seperti dalam musim sejuk dan cepat tumbuh semula.

Rumput ini tumbuh menegak dan juga tidak mudah tumbuh tidak sekata walaupun tumpuh serumpun. Ada juga spesisnya yang tumbuh agak lambat di mana ia tidak perlu selalu dipotong. Ia tidak sesuai untuk ditanam dengan kawasan berdekatan laut kerana tidak tolerate dengan garam.



0 comments:

Post a Comment