Thursday, 21 April 2016

On 21:30 by    No comments

Setiap tahun, Earth Day-22 April, ialah ulangtahun kelahiran gerakan alam sekitar moden mulai tahun 1970. Kini ia menjadi acara antarabangsa yang diraikan untuk menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar dan mempertahankan hak alam semulajadi dengan simbolisasi yang merujuk secara ringkasnya kepada “dunia” (earth).

Counterculture (yang merujuk kepada cara hidup atau budaya yang melawan arus) ini menjadi lebih hangat di Amerika Syarikat pada tahun 1970 dengan kematian Jimi Hendrix, album terakhir the Beatles, dan lagu “Bridge Over Troubled Water” oleh Simon & Garfunkel dan peperangan yang meletus di Vietnam di mana golongan pelajar membuat demo membantahnya.

Pada waktu itu, Amerika menggunakan gas berplumbum untuk kereta dan kilang-kilang industri mencemarkan udara dengan gas-gas bahaya tetapi diterima atau dibenarkan oleh pihak berkuasa dan tiada bantahan atau kesedaran tentang melindungi alam sekitar.

Dengan penerbitan buku Silent Spring  oleh Rachel Carson pada 1962 yang menyedarkan orang ramai tentang kepentingan alam sekitar dan organisma hidup yang bersangkutpaut dengan pencemaran dan kesihatan awam, rakyat Amerika mula sedar dan mengambil tahu.

Earth Day 1970 telah menyuarakan kebimbangan dan kepedulian tentang isu alam sekitar, dan sekaligus menunjukkan sokongan terhadap gerakan prostes anti-perang dengan meletakkan isu berkenaan alam sekitar sebagai isu utama sebagai kesan daripada peperangan dan pembangunan industri yang pesat.

Idea untuk meraikan hari Earth Day ini diilhamkan oleh Gaylord Nelson, senator Amerika Syarikat dari Wisconsin, selepas beliau melihat kerosakan dan kesan buruk yang hebat yang disebabkan oleh tumpahan minyak di Santa Barbara, California pada tahun 1969. Diinspirasikan oleh gerakan anti-war golongan pelajar, beliau mula menyedari bahawa kejadian ini boleh digunakan dalam menyedarkan orang awam tentang pencemaran udara dan air sekaligus menguatkuasakan akta perlindungan terhadap alam sekitar.  

Pada hari pertama Earth Day yang dipilih oleh Gaylord iaitu pada 22 April, beliau melancarkan hari kebangsaan untuk mengajar orang awam tentang alam sekitar,“national teach-in on the environment”, dengan melantik Pete McCloskey dan Denis Hayes untuk menguruskan dan menganjurkan acara tersebut ke seluruh negara.

Dari acara itu, ribuan kolej dan universiti berkumpul untuk mengadakan protes terhadap kemerosotan alam sekitar. Kumpulan-kumpulan ini yang protes tentang tumpahan mintak, kilang-kilang dan pusat janakuasa yang mencemarkan udara, perkumbahan mentah, pelupusan bahan toxic, racun kimia, pembangunan jalan yang mengurangkan hutan dan kepupusan haiwan liar mulai sedar bahawa mereka berkongsi nilai perjuangan yang sama.

Kini, perjuangan untuk alam sekitar yang bersih masih lagi diteruskan, tambahan pula dengan meningkatnya ancaman pembangunan dan perubahan iklim yang semakin nyata. Earth Day telah mencapai status antarabangsa dan diraikan oleh lebih dari 1 billion orang dari segenap dunia setiap tahun dan percaya setiap hari adalah hari untuk mengubah perilaku manusia terhadap alam sekitar serta mencetuskan perubahan polisi atas dasar yang sama.

Kami di Tukang Kebun Kulim juga turut sama ingin menyedarkan orang ramai tentang kepentingan penjagaan alam sekitar, dan pembangunan alam semulajadi yang boleh dijayakan dengan berkebun. Ia adalah salah satu cara kita menyumbang kepada alam semulajadi. Berkebun itu berbakti kepada tanah bumi, dan kita juga yang mendapat hasilnya kembali iaitu udara yang segar dan nyaman, oksigen untuk bernafas dan pemandangan yang menenangkan jiwa. Jadi, teruskan berkebun dan memeriahkan halaman anda.


Sumber maklumat dari Earth Day Network.

0 comments:

Post a Comment