Monday, 18 April 2016

On 23:43 by    No comments

Menjaga rumput untuk hidup subur memerlukan perhatian. Namun bila rumput dah mula tumbuh subur, rumput liar atau rumpai termasuk lalang juga turut sama tumbuh. Memang menyakitkan mata bila tetamu tak diundang ini muncul.

Pelanggan kami banyak mengadu tentang masalah ini. Malangnya guna rumput jenis apa pun, rumput liar serta rumpai memang akan tetap tumbuh bersama, kerana mereka bersaudara (sama-sama tumbuhan), hidup atas faktor dan sumber yang sama.

Bagaimana nak racun? Nanti rumput kesayangan terkena racun juga? Jadi apa perlu anda buat ialah cabutnya satu persatu dari akarnya. Banyak? Sebab itulah sepatutnya dari awal-awal lagi cabut, kalau dibiar yang sikit-sikit itu terus naik, makin merebak dibuatnya. Siapa yang lenguh belakang? Anda juga.

Salah satu cara yang kurang bahaya adalah dengan meracunnya menggunakan racun organik buatan sendiri. Dipetik bersumberkan channel-channel perkebunan di Youtube, terdapat beberapa video menunjukkan cara membuat racun organik yang berkesan dengan hanya menggunakan campuran cuka,sabun pencuci pinggan organik serta garam dan sembur ke seluruh rumpai durjana tersebut. Tetapi cara ini memerlukan anda menyemburnya beberapa kali, dan 2-3 hari untuk rumpai yang lebih tinggi. Anda boleh tengok video di bawah:

Ada banyak lagi resipi racun rumpai organik boleh ditemui di Youtube dan serata Internet. Boleh cuba mana-mana yang berkenan di hati ya.

Berikut juga ada beberapa tips untuk menangani masalah rumpai dan semut yang merosakkan rumput, yang dipetik dari blog Kasih Shafizah:

Rumpai/Rumput Liar
-Cara terbaik adalah dengan mencabut rumpai secara manual menggunakan benda tajam.Cungkil rumpai beserta akar sekali (tuber @ ubi).Keluarkan semua tuber yang bersambung-sambung.Pendek kata korek dan buang.

-Matikan tuber. Tuber adalah tempat menyimpan makanan bagi rumpai.terutamanya lalang. Setiap kali rumpai tumbuh, perlulah dipotong. Dengan cara ini tuber akan kurus.Tetapi cara ini mengambil masa yang lama.

-Meracun menggunakan Roundup atau apa-apa sahaja jenama yang mana bahan aktifnya glyphosate iaitu racun sistemik. Apabila dibancuh dan disembuh dengan betul ia akan meresap melalui daun ke seluruh tumbuhan. hanya aktif kepada jenis rumput sahaja.

Rumput berlumut (warna hitam)
Perkara utama yang menyebabkan lumut ialah kelembapan dimana terlalu banyak air yang dipegang. Kemungkinan besar rumput ditanam di atas tanah liat. Gunakan pasir dengan menabur selapis pasir kasar di atas kawasan berlumut. Selepas itu menebuk beberapa lubang-lubang kecil sebesar pen dalam jarak 4 inci antara satu sama lain yang boleh membantu air mengalir ke bawah. Diharapkan pasir itu akan masuk ke dalam lubang-lubang tersebut dan membentuk pengaliran air ke bawah.
 Gambar contoh dari Pakar Rumput mynormas

Semut
Bancuh sebaldi air bersama sabun cuci pinggan. Kemudian korek dan gemburkan kawasan tanah yang dipenuhi semut dengan campuran tadi. Sabun dalam kuantiti yang banyak akan menembusi kulit badan ulat dan boleh meresap ke dalam tanah untuk membunuh serangga yang tersembunyi di dalam tanah.Tanah yang terlalu padat boleh menghalang air dari mengalir dan masuk ke dalam tanah.Menggemburkan tanah dan menggunakan sabun akan mengurangkan daya hydrophobic tanah selain membantu air mengalir masuk ke dalam tanah. Sekiranya memakai racun,pastikan racun berasaskan air kerana sudah dibancuh siap.

Untuk mengelakkan rumpai dan rumput liar hidup di kalangan rumput anda, pastikan apabila memotong rumput anda tidak memotongnya terlalu pendek. Kerana apabila rumput terlalu pendek:

  • Ia memberi peluang untuk rumput liar hidup dengan mendapat cahaya matahari kerana rumput pendek telah memberi laluan cahaya kepada mereka. Rumput yang agak panjang menghalang cahaya matahari dari terkena tunas rumput liar yang baru tumbuh.
  • Rumput pendek akan berkurangan daya saingnya (menjadi lemah) dalam penyerapan nutrient dari tanah sekaligus memberi peluang rumput liar menyerap nutrient.


Kenalpasti jenis rumpai dan rumput liar supaya anda dapat memilih racun rumpai yang bersesuaian. Kerana racun rumpai di pasaran mempunyai cara dan aplikasi yang berbeza mengikut spesis.

Bagi kawasan tanah yang kurang subur untuk rumput seperti tidak terkena cahaya matahari kerana dilindungi pokok redang atau tanah tidak sesuai untuk rumput tetapi lalang dan rumpai tetap tumbuh, gunakan batu-batu untuk menghalangnya dari naik.

Gambar dari Stone Center Plus.
Maka sekarang anda sudah tahu bahawa memang rumput serta apa-apa jenis tanaman memerlukan perhatian dan penjagaan jika tidak mahu diserang rumpai dan rumput liar serta perosak lain. Rumput liar dan rumpai ini apabila makin banyak tumbuh akan mendominasikan kawasan rumput dan akhirnya rumput akan berkurangan akibat mati. Sedih kan?

0 comments:

Post a Comment