Sunday, 22 May 2016

On 22:25 by    No comments

Apakah itu makhluk perosak?

Dalam Bahasa English dipanggil"Pest",dan ia merujuk kepada apa saja makhluk yang tidak diingini dan merosakkan barangan rumah atau kedai, bangunan , luar atau dalam, merosakkan harta benda atau mendatangkan penyakit. Ia berada bersama dengan pengguna samada di premisnya atau di sekitar kawasan premisnya.

Dari takrifan makhluk perosak itu, kita dapat fahami bahawa makhluk perosak itu tidak terhad hanya kepada serangga seperti lipas, semua, anai-anai atau lain-lain seumpamanya sahaja. Ia adalah jauh lebih luas termasuklah makhluk seperti haiwan, rumput rampai, kulat dan lain-lain makhluk yang tidak diingini.

Menurut satu bancian pada tahun 1984, nyamuk adalah serangga perosak yang amat popular mendatangkan masalah di negara ini, ia diikuti oleh lipas, lalat, semut dan tikus. Namun begitu dalam satu kajian pada tahun 1995, oleh unit vektor kawalan penyakit, Universiti Sains Malaysia mendapati bahawa semut telah naik ke tangga ketiga menggantikan lalat dalam turutan kepentingannya dalam mendatangkan masalah kepada para pengguna.

Selain daripada itu anai-anai merupakan satu masalah yang juga menjadi semakin penting dalam keperluan pengawalannya. Kerosakan yang didatangkan oleh anai-anai kepada harta benda telah menjadikan ia di antara jenis serangga perosak yang amat dikhuatiri oleh para pemilik rumah dan bangunan. Anai-anai makan segala kayu dan bahan yang berasaskan celulose. Anai-anai boleh dibahagikan kepada 3 jenis utama iaitu, Anai-anai bawah tanah, anai-anai kayu kering dan anai-anai kayu basah.

Kerosakan bumbung dewan akibat anai-anai
Anai-anai berupaya merosakkan kayu di rumah atau bangunan lain yang mempunyai kayu. Biasanya anai-anai yang paling bahaya merosakkan struktur kayu pada bangunan adalah anai-anai bawah tanah terutamanya dari spesis Coptotermes. Jika segala struktur bangunan dibuat daripada bahan metal dan juga batu, anai-anai tetap mendatangkan masalah kerana mereka akan menyerang perabut serta peralatan lain yang berada di dalam bangunan. Tiang elektrik atau bahan dari kayu di luar rumah juga menjadi bahan serangan anai-anai dengan mudah. Anai-anai juga boleh menjejaskan pertanian, perhutanan dan tanaman di dalam bandar. Ada dua spesis anai-anai bawah tanah yang kerjanya membunuh pokok-pokok hidup. Anai-anai tidak membawa penyakit serius tetapi jika lantai atau tiang atau perabot di rumah yang dimakan mereka tanpa kita sedari akan meletakkan diri kita dalam bahaya.

Bahaya tikus pula ialah dari penyakit kencing tikus atau nama sainsnya Leptospirosis. Ia sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan bakteria Leptospira dan disebarkan melalui haiwan. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut. Pada mulanya, bakteria ini dikenal pasti datangnya dari tikus. Namun kini, banyak jenis haiwan boleh menjadi perumah bakteria ini, sama ada liar atau peliharaan. Haiwan dijangkiti ada kalanya menunjukkan tanda sakit, tetapi sekadar menjadi pembawa dan tidak memindahkan jangkitan. Secara umumnya bakteria Leptospira boleh menjangkiti anjing, tikus dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

Aedes merupakan jenis nyamuk yang asalnya ditemui di kawasan tropika dan subtropika. Kakinya berbelang hitam putih. Aedes aegypti juga terkenal sebagai penyebar denggi dan demam kuning. Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk melalui gigitannya yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini. Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Ia menyerupai demam selsema. 


Cara mengelak demam denggi saranan pihak kesihatan ialah dengan mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja. Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk iaitu tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Kita juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak.

Adalah sangat penting untuk kita yang meminati aktiviti berkebun untuk menangani masalah makhluk perosak kerana kecenderungan keadaan kebun yang berpokok dan berdaun untuk mengundang makhluk ini yang juga boleh merosakkan keadaan kebun, halaman, rumah dan perabut dalaman rumah kita. Makhluk ini juga berupaya mendatangkan bahaya kepada kita sebagai manusia dari segi penyakit dan kemusnahan rumah dalam tanpa disedari. Jadi jangan ambil risiko, cegah sebelum menyesal.

Sumber info dari MyPestNews, Wanista, Website Kementerian Kesihatan 

0 comments:

Post a Comment