Thursday, 12 May 2016

On 05:34 by    1 comment
Post kali ni kami akan kongsi tentang penyediaan tanah sebelum berkebun. Memandangkan trend sekarang yang sihat lagi bermanfaat iaitu kebun bandar makin mendapat perhatian, salah satu perkara utama dan penting yang ingin kami kongsi disini ialah menyediakan tanah untuk penanaman dahulu.

Sayur-sayuran sering menjadi pilihan untuk ditanam di kawasan rumah. Ia menjadikan kita lebih yakin dengan sayur hasil tanaman kita sendiri berbanding dengan sayuran yang ditanam secara komersial kerana bebas daripada racun. Sayuran juga sangat penting kepada manusia kerana ianya membekalkan vitamin, garam mineral, protein, karbohidrat dan lemak.

Sayur-sayuran boleh dibahagikan kepada empat jenis utama mengikut bahagian-bahagian makanan; iaitu:
  1. Daun, seperti bayam, sawi bunga, kobis, kangkung
  2. Kekacang, seperti kacang botol, kacang tanah, kacang buncis, kacang buncis
  3. Buah, seperti bendi, cili, terung, timun, tomato
  4. Akar/ Umbisi, seperti halia, ubi kentang, lobak merah, keladi, sengkuang
Contoh umbisi atau akar, gambar dari Gettyimages.

Sumber gambar dari siakapkeli.my
Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira ketika memilih tapak pertanian. Pertama, sumber air, bagi memudahkan penyiraman dan mencuci sebelum perkebunan dijalankan.

Kedua, kawasan yang luas dan lapang supaya cahaya matahari terkena terus kepada tanaman bagi tujuan fotosentisis dan akar pokok tidak bersaing untuk mendapatkan air dan nutrien.

Ketiga, permukaan tanah yang rata yang memudahkan pengurusan. Teres bertingkat seperti tangga, digunakan jika tanah bercerun dan tidak dapat diratakan.

Selepas memilih tapak, tanah perlu disediakan terlebih dahulu. Tanah di Malaysia sering mengalami suhu tinggi dan hujan lebat,maka ia memerlukan pemuliharaan tanah untuk menyuburkan tanah. Kesuburan tanah adalah penting dan lambang keupayaan sesuatu tanah untuk menampung pengeluaran hasil tanaman yang memuaskan. Ciri-ciri berikut adalah tanda tanah tidak subur:
  1. Kandungan nutrien yang rendah – kawasan tropika sering mengalami kadar proses luluhawa dan larut resap menyebabkan kandungan nutrien tanah tidak mencukupi.
  2. Keadaan tanah berasid – tanah asid sulfat dan tanah gambut ialah dua jenis tanah yang bermasalah di Malaysia kerana pH yang lebih rendah. Tanah asid sulfat kurang subur dan tanaman yang ditanam di tanah ini biasanya mengalami ketoksidan aluminium, ferum dan mangan. Tanah gambut bermasalah kerana kekurangan beberapa mikronutrien seperti kuprum, mangan, zink, ferum, molibdenum dan boron.
  3. Tanah berlempung – mengandungi tanah liat yang tinggi. Tanah ini menjadi lekit apabila basah dan berketul bila kering. Kadar saliran dan kadar peresapan air sangat rendah.
  4. Tanah berpasir – tanah berpasir seperti tanah bekas lombong dan tanah Bris mengalami saliran lampau sehingga kandungan air tidak mencukupi untuk keperluan tanaman.Tanah ini tidak mempunyai struktur yang boleh memegang tumbuhan dan kurang daya penahan air dan pH tanah jenis ini adalah antara 4.3 hingga 5.8.
Secara umumnya tanah untuk sayuran hendaklah mengandungi tanah peroi, mempunyai
saliran yang baik, menyimpan nutrient, kelembapan yang sederhana dan tidak terlalu berasid.

Jika keadaan tanah di laman anda mempunyai ciri-ciri di atas, salah satu solusinya yang ada ialah dengan menukar tanah. Anda perlu korek dan buang tanah yang gersang tetapi tidak sepenuhnya, cuma dibahagian tanaman, dan tambah semula dengan tanah loam atau tanah baja yang boleh dibeli.

Selain itu, kerja-kerja membersihkan kawasan penanaman juga penting, termasuklah
a) menebang pokok
b) menebas
c) mengumpul rumpai
d) meratakan tanah

Tanah yang gembur adalah penting untuk tujuan saliran air, tumbuhan akar, penyerapan nutrient dan pengudaraan tanah. Proses penggemburan tanah boleh dilakukan dengan menggunakan  fork, scoop atau cangkul. Tujuan pembajakan tanah dilakukan adalah untuk memperbaiki saliran dan pengudaraan tanah, memudahkan pembinaan batas serta menghapuskan rumpai dan organisma perosak tanaman. 

Langkah-langkah pembajakan:
  • Tanah digemburkan dengan menggunakan fork, cangkul atau jentera pembajak untuk kawasan besar sedalam 20-30 cm 

  • Biarkan tanah terdedah kepada cahaya matahari selama satu minggu. Ini adalah untuk mematikan rumpai dan organisma tanah yang berbahaya 
  • Menabur kapur untuk menurunkan keasidan tanah.
  • Membajak tanah dengan jentera pembajak  

Penyediaan tanah ini adalah sangat penting untuk memastikan kebun anda hidup dan subur dengan hasil yang memuaskan hati. Ingat ya, jangan mulakan kebun anda tanpa asas yang penting ini jika anda tidak mahu kecewa dan rugi di kemudian hari ya!

1 comment: